Sebelum kita melangkah ke amalan eloklah kita tahu dulu apa itu erti Puasa.
Puasa dalam bahasa Arab bermaksud meninggalkan. Manakala maksud di sisi ahli Feqah ialah meninggalkan diri melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu bemula daripada terbit fajar hingga terbenamnya matahari dan disertai dengan niat.
manfaat yang boleh diperolehi dari ibadat puasa
- Sifat Ikhlas
- Mujadalah dan kekentalan jiwa
- Sabar
- Memelihara fizikal
- Prihatin dan belas kasihan
- Membuka hijab antara diri dengan Alah SWT
- Mengenali erti kejayaan sebenar
- Rasa belas dan lemah lembut
- Memperkukuhkan Kesatuan Ummah
- Merapatkan hubungan dengan alam
- Menjaga Masa
- Kesihatan Tubuh Badan
ADAB-ADAB DAN SUNAT PUASA
- Bersahur dan mengakhirkan sahur
Bersahur merupakan amalan sunat berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Ertinya: “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya sahur itu ada keberkatan”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Mempercepatkan berbuka puasa apabila terbenamnya matahari
Sabda Rasulullah SAW:
Ertinya: “Kekallah umatku dengan kebaikan sebagaimana mereka mempercepatkan berbuka puasa”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
PERKARA YANG HARUS KETIKA BERPUASA
- Menjirus kepala
Ini kerana terdapat hadith yang mengharuskan orang yang berpuasa berbuat demikian. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Abdul Rahman di mana sesetengah sahabat Nabi SAW menceritakan kepadanya bahawa mereka berkata:
Ertinya: “Sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW menjirus air ke atas kepalanya dan baginda berpuasa, (demikian itu) kerana dahaga atau kerana kepanasan”.
(Riwayat Ahmad, Malik dan Abu Daud)
- Menitikkan sesuatu ke dalam mata sama ada rasanya boleh dirasai di halkum atau tidak.
Ini kerana mata bukanlah lubang rongga yang berhubung dengan halkum. Pendapat inilah yang dipegang dalam Mazhab Syafie dan Ibnu Munzir menghikayatkan pendapat yang sama.
- Makan, minum dan berjimak di malam hari sehingga terbit fajar.
Harus juga kepada orang yang berpuasa mengakhirkan mandi junub sehingga selepas terbit fajar. Begitu juga kepada wanita yang datang had dan nifas, adalah harus melewatkan mandi wajib sehingga selepas terbit fajar walaupun darahnya berhenti pada malam hari.
- Merasai makanan tanpa menelannya.
Ulama-ulama Mazhab Syafie berpendapat bahawa sekiranya seseorang berhajat untuk merasai makanan seperti untuk diberikan kepada anaknya yang kecil, maka harus dilakukan kerana dharuriah.
Kata Imam A hmad bin Hambal: “Aku lebih suka jika dapat dihindari daripada merasai makanan, tetapi sekiranya dilakukan maka tidaklah mengapa”.
PERKARA YANG MAKRUH KETIKA BERPUASA
- Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk secara berlebih-lebihan.
Imam al-Syafie dan sahabat-sahabat dalam Mazhab telah sepakat bahawa disunatkan kepada orang yang berpuasa berkumur- kumur dan membasuh hidung ketika berwuduk tetapi makruh berlebih-lebihan. Pendapat yang paling sahih dalam Mazhab Syafie ialah sekiranya berlebih-lebihan ketika melakukannya hingga menyebabkan air masuk ke dalam rongga maka batal
puasa.
- Menyambung puasa seperti tidak berbuka selama dua hari berturut-turut. Hukumnya adalah makruh menurut Jumhur Ulama. Manakala pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie pula ialah hukumnya haram.
- Bagi suami isteri yang berada pada peringkat usia muda, adalah makruh mencium ister kerana takuti akan merangsang naluri dan membawa kepada perkara yang membatalkan puasa.
- Makruh bersiwak (berus gigi) selepas gelincir matahari menurut Iman al-Syafie dan Ahmad.
qIAMULLAIL DAN SOLAT TARAWIH
Memakmurkan malam-malam sepanjang bulan Ramadhan adalah sunat dan amat dituntut oleh Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
Ertinya: “Sesiapa yang bangun (Qiamullail) pada bulan Ramadhandengan keimanan dan pengharapan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara ibadat-ibadat yang dituntut sepanjang Ramadhan ialah solat Tahajud, membaca al-Qur’an dan mengkhatamkannya sekerap yang mungkin.
Qiamullail dalam bulan Ramadhan juga diberi maksud sebagai mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah.
Daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW menunaikan solat Tarawih di masjid lalu dikuti beberapa orang bersamanya. Kemudian baginda solat lagi dan orang yang solat bersamanya semakin bertambah ramai. Seterusnya orang ramai berhimpun pada malam ketiga dan keempat tetapi Rasulullah SAW tidak keluar untuk solat Tarawih bersama mereka. Apabila tiba waktu subuh, Rasulullah SAW bersabda dengan mereka:
Ertinya: “Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu lakukan. Tiada yang menghalang aku keluar kepada kamu selain kerana aku takut ianya difardukan ke atas kamu”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab RA, umat Islam pada peringkat awal mengerjakan solat Tarawih secara bersendirian. Kemudian Umar memerintahkan mereka mengerjakannya secara berjemaah dan beliau melantik Ubai bin Kaab sebagai imam.
Sekali pun solat Tarawih boleh dilakukan secara bersendirian namun kelebihan adalah secara berjemaah. Nabi SAW telah bersabda:
Ertinya: “Seseorang lelaki yang bersolat (tarawih) bersama imam shingga imam itu pulang (selesai mengerjakan solat), ia dikira telah bangun (beribadat) keseluruhan malam”.
(Riwayat Ashab al-Sunan)
KELEBIHAN MALAM SEPULUH TERAKHIR RAMADHAN DAN LAILATUL QADAR
- Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada malam sepuluh terakhir melebihi daripada malam-malam sebelumnya. Aisyah RA berkata:
Ertinya: “Rasulullah SAW apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (dengan ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah dari isteri- isterinya”.
- Pada malam sepuluh terakhir terdapat satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak). Pada malam inilah diturunkan al-Qur’an sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Qur’an) pada malam Lailatul Qadar”
(Surah al-Qadr.)
Ibnu Abbas berkata: Allah menurunkan al-Qur’an sekaligus daripada Loh Mahfuz ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia. Kemudian ia diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah SAW, selama 23 tahun.
Lailatul Qadar disifatkan lebih baik daripada seribu bulan, firman Allah SWT:
Ertinya: “Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
(Surah al-Qadr: 3)
Malam ini juga disifatkan sebagai malam berkat. firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Qur’an) itu pada malam yang berkat (Lailatul Qadar)”.
(Surah al-Dukhan: 3)
Pada malam ini juga turunnya para malaikat, dan malaikat turun bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah SWT yang dikhaskan untuk malam ini.
Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Firman AlahSWT:
Maksudnya: “Kami menurunkan al-Qur’an pada malam yang tersebut kerana pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta tetapberlaku (tidak berubah atau bertukar)”.
(Surah al-Dukhan: 4)
Maksud urusan yang penuh hikmah ialah pada malam tersebut Allah SWT menentukan umur, rezeki dan ajal manusia.
Allah SWT mengampunkan hamba-Nya yang menghidupkan malam tersebut dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan.
ZAKAT FITRAH
Zakat fitrah adalah wajib ke atas setiap Muslim tidak kira sama ada lelaki, perempuan, kanak-kanak, dewasa, merdeka ataupun hamba. Abdullah bin Umar RA telah berkata:
Ertinya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah di dalam Ramadhan ke atas umat Islam secupak tamar atau secupak gandum sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
SIAPA YANG WAJIB MEMBAYAR ZAKAT FITRAH
- Menurut Mazhab Jadid (baru) Imam al-Syafie dan pendapat Imam Ahmad berdasarkan riwayat daripada Imam Malik:
“Wajib ke atas setiap Muslim yang dilahirkan sebelum terbenam matahari hari terakhir Ramadhan”. Pendapat in yang dipakai dalam Mazhab al-Syafie. - Manakala Mazhab Qadim (lama) Imam Syafie dan pendapat Imam Abu Hanifah pula berdasarkan riwayat daripada Imam Malik:
“Wajib ke atas Muslim yang dilahirkan sebelum terbit fajar Hari Raya Pertama.”
WAKTU MEMBAYAR ZAKAT FITRAH
Zakat fitrah boleh dibayar bermula dari awal Ramadhan. Sunat hukumnya membayar selepas fajar Hari Raya Pertama hingga waktu solat Hari Raya. Makruh membayarnya selepas solat Hari Raya dan ia tidak dikira sebagai zakat fitrah sebaliknya sedekah. Dan hukumnya haram membayar zakat fitrah selepas berakhirnya Hari Raya Pertama.
Sabda Rasulullah SAW:
Ertinya: “Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah sebelum solat maka ia adalah zakat yang diterima dan sesiapa yang membayarnya selepas solat maka ia adalah sedekah daripada sedekah-sedekah (yang dibuat pada waktu-waktu biasa)”
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
KADARNYA
Secupak daripada makanan rasmi sesebuah negara. Sesetengah ulama seperti Imam Abu Hanifah berpendapat, harus mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai secupak makanan tersebut sekiranya ia lebih
bermanfaat kepada fakir miskin seperti dengan nilai ringgit dan sebagainya.